"Aku minta kepada Tuhan setangkai bunga segar... Ia beriku kaktus berduri... Aku minta kupu-kupu... Diberi ulat bulu... Aku sedih dan kecewa... Namun kemudian, kaktus itu berbunga indah sekali... Ulat itu menjadi kupu-kupu yang cantik... Itulah jalan Tuhan, indah pada masaNya.."

Wednesday 25 December 2013

IBUBAPA | Menyokong Atau Mengarah?


Sumber Gambar | Google

Assalamualaikum + Yuuuhuuu!

Entri ini bukanlah mengenai politik tapi mengenai ibu bapa dan anak-anak. Aku mendapat idea untuk menulis tentang artikel ini apabila seorang kawan yang meluahkan rasa bimbang tentang anaknya yang tidak mahu meneruskan pengajian dan juga tidak bekerja. Dari luahan kawan itu kita kembali kepada tajuk artikel ini – Menyokong Atau Mengarah? Sebagai ibu atau bapa, adakah kita memberi sokongan kepada keinginan, cita-cita dan impian si anak atau mengarah kerana mahu anak mengikut apa yang kita tentukan untuk mereka?

Dari pengalaman  Aku , dari mereka yang   Aku kenali,   Aku pernah melihat malah pernah melalui situasi itu sendiri. Ada ibubapa yang terlalu mengongkong anak-anak dengan menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh untuk mereka. Ada pula ibubapa yang sentiasa menyokong anak-anak selagi ia tidak memudaratkan. Dan ada juga ibubapa yang memberikan sepenuh kebebasan kepada anak-anak untuk menentukan sendiri hala tuju hidup mereka. Kita ibubapa dalam kategori mana?

Kesan ibu bapa yang terlalu mengongkong dengan menentukan segalanya untuk anak – Contohnya; Ibu bapa yang telah merancang si anak sepatutnya menjadi sepertimana yang mereka mahu dan harapkan. Sedangkan si anak ada keinginan dan impiannya sendiri. Kerana tidak diberikan peluang untuk menentukan sendiri masa depan serta membuat keputusan, si anak akur dengan kehendak ibu bapa dalam keadaan terpaksa. Si anak buat sesuatu yang ibu bapa suka, bukannya yang dia suka. Si anak cuba memenuhi impian dan hasrat ibu bapanya, bukannya cita-cita dan impian dia. Berapa peratus kejayaan ibu bapa untuk melihat si anak menjadi seperti apa yang mereka mahukan? Dan berapa peratus peluang kejayaan untuk diri anak itu sendiri?

Kesan ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada anak – Contohnya; ibu bapa sekadar menyimpan harapan agar si anak berjaya. Tidak kira walau dalam apa jua bidang. Ibu bapa ini sentiasa memberi semangat, dorongan, sokongan dan nasihat agar si anak mampu mencapai kejayaan yang di impikan. Untuk si anak, itulah sumber kekuatan dan aspirasinya untuk terus melangkah ke depan. Ibu bapa ini akan sentiasa menyokong selagi pilihan si anak tidak akan memudaratkan anaknya. Dalam suasana seperti ini; berapa peratus harapan ibu bapa ini melihat si anak berjaya? Dan berapa peratus pula peluang kejayaan untuk diri anak itu sendiri?

Kesan ibu bapa yang memberikan sepenuh kebebasan pada anak untuk menentukan sendiri hala tuju hidupnya – Contohnya; ibu bapa yang sangat fleksibel, praktikal dan mungkin liberal. Ibu bapa ini mahu si anak berdikari. Ada baik dan buruknya dalam kategori ini. Baik dan buruk itu bergantung pada diri si anak itu sendiri. Kebebasan buat si anak tidak mendapat bimbingan atau panduan yang sepatutnya. Si anak sentiasa bermasalah. Mungkin ada yang beroleh kejayaan dan mungkin juga tidak. Ia bergantung kepada anak itu.

p/s : Sebenarnya, apa juga pilihan ibu bapa dan anak, kejayaan anak adalah kejayaan ibu bapa itu juga. Walau dalam apa sekali pun, andai ibu bapa berfikir sesuatu itu adalah yang terbaik untuk si anak, tapi ia tidak semestinya baik pada si anak. Begitu juga sebaliknya. Samada ibu bapa atau anak, kedua-dua pihak saling memerlukan satu sama lain selagi hayat dikandung badan

No comments:

Post a Comment