"Aku minta kepada Tuhan setangkai bunga segar... Ia beriku kaktus berduri... Aku minta kupu-kupu... Diberi ulat bulu... Aku sedih dan kecewa... Namun kemudian, kaktus itu berbunga indah sekali... Ulat itu menjadi kupu-kupu yang cantik... Itulah jalan Tuhan, indah pada masaNya.."

Wednesday 25 December 2013

Kesalahan Apabila Mendengar




Aku percaya semua manusia di muka bumi ini lebih suka mendengar tentang perihal keburukan orang lain berbanding kebaikan, SETUJU atau TIDAK? Tiada siapa yang suka apabila mendengar orang lain baik, elok, sempurna atau lebih dari kita betul? Akan terbit rasa tidak puas hati, cemburu dan sebagainya terhadap orang itu. Lantas kita mula mencari-cari keburukan, kelemahan serta kekurangan orang itu dan membandingkan pula dengan perihal kebaikan mereka. Lebih-lebih lagi orang itu adalah yang kita benci dan tidak suka padanya.

Adakah anda pernah berbuat begitu? Pernahkah kita terfikirkan KESALAHAN APABILA MENDENGAR perihal kebaikan atau keburukan orang lain? Apalagi yang kita dengari itu hanya cakap-cakap mereka yang memperkatakannya tetapi kita pula lantas mempercayai bulat-bulat. Sejauh mana kebenaran kata-kata mereka yang kita dengari? Cukupkah hanya dengan mendengar cerita dari sebelah pihak yang berkemungkinan besar adalah TIDAK BENAR, GOSIP malah adalah FITNAH? Kebiasaannya memang itu yang berlaku. Kita hanya mendengar lantas mempercayai dengan begitu mudah sekali apa yang kita dengari tanpa sebarang usul periksa.

Adakah mereka yang menyampaikan cerita itu seorang yang pandai dan kita yang mendengar pula ialah seorang yang bodoh lantas membuatkan kita percaya akan kata-kata mereka? Kenapa tidak kita gunakan akal fikiran yang waras untuk memastikan kebenaran sesuatu cerita yang kita dengari? Atau kita bodoh tidak tahu menggunakan akal fikiran atau mungkin kita malas untuk menggunakan akal fikiran serta segala kelebihan yang tuhan berikan pada kita? Mungkin kita tidak sedar, apabila berlaku perkara seperti itu, orang yang sebenarnya buruk dan bodoh adalah diri sendiri yang hanya mendengar dan percaya kemudian membuat kesimpulan sedangkan dia tidak melakukan apa-apa untuk memastikan kebenaran atau kepalsuan sesuatu cerita yang didengarinya.

Sudahlah hanya mendengar dari sebelah pihak, tidak usul periksa samada cerita yang didengari betul atau tidak, disampaikan pula cerita yang didengarinya pada orang lain dan orang lain itu bercerita/ sampaikan pula pada orang lain. Begitulah seterusnya berlaku kerana mereka lebih suka mendengar [gosip] apalagi ceritanya ialah aib orang. Secara automatiknya kita telah turut sama melakukan fitnah dan menyebarkan fitnah melalaui SATU CERITA. Betapa senang dan mudahnya mengumpul dosa, buka mulut saja! Sedikit pun kita tidak fikirkan orang yang kita ceritakan itu. Kita cuma fikir kita betul, kita buat perkara yang betul dan KITA MEMANG BETUL, KITA SAJA YANG BETUL, BAIK, ELOK, BAGUS, SEMPURNA dan sebagainya termasuklah orang yang menyampaikan cerita pada kita.



Teringat aku pada buku cerita tentang kisah-kisah Nabi yang pernah aku baca semasa kecil dulu. Kisah Nabi Ibrahim. Tentu ramai yang pernah baca kisah Nabi Ibrahim yang mencari tuhan sebenar yang telah menjadikannya, langit dan bumi serta seluruh isinya. Nabi Ibrahim berfikir, berfikir, berfikir dalam mencari tuhan dan kebenaran. Dia tidak percaya pada kata bapanya bahawa berhala itu adalah tuhan mereka. Ternyata patung berhala bukanlah tuhan yang berkuasa apalagi yang menjadikan seluruh alam apabila patung tersebut tidak membalas atau mengapa-apakan Nabi Ibrahim ketika dia memecahkan patung tersebut. Sehinggalah dia dihukum bakar hidup-hidup dalam unggun api yang sangat besar tetapi api tersebut sedikit pun tidak mencederakan Nabi Ibrahim.

Moralnya; Nabi Ibrahim sentiasa berfikir, berfikir, berfikir dalam mencari tuhan yang menjadikannya dan alam semesta. Dia tidak mempercayai patung berhala itu adalah tuhan walaupun yang mengatakan itu adalah bapa kandungnya sendiri. Bermacam-macam ujian, dugaan dan kesukaran yang dihadapi olehnya dalam mencari KEBENARAN. Dia tidak merasa takut atau gentar dibakar dalam mencari kebenaran. Kerana menggunakan akal dan berfikir, Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Ibrahim dan diangkat menjadi Nabi untuk membimbing umatnya pada masa itu.

Agak-agak pada zaman Nabi Ibrahim tu ada internet atau segala jenis kemudahan untuk mendapatkan maklumat siapa sang Pencipta seluruh alam? Pada zaman tu ada tak segala jenis level pendidikan seperti Degree, PhD, dan segalanya macam zaman sekarang ni? TAK ADA kan? Walaupun nabi Ibrahim tak ada segala sijil pelajaran yang hebat-hebat macam zaman sekarang ni atau paling cikai pun diploma, tapi dia ada AKAL FIKIRAN dan dia telah gunakannya untuk BERFIKIR MENCARI APA YANG BENAR DAN TIDAK. Nabi Ibrahim tak percaya buta-buta macam tu saja pada kata bapanya. Dia tidak mahu menyembah patung yang tidak bergerak dan tidak boleh berbuat apa-apa malah dia dan bapanya pula yang membersihkan patung berhala tersebut!

Tapi anehnya zaman sekarang  ni, segala macam kemudahan ada, bak slogan DUNIA DIHUJUNG JARI anda. Nak berkomunikasi bukan main senang zaman sekarang ni. Cepat & Pantas. Tapi ada jugak yang malas demi mencari kesahihan dan kebenaran sesuatu cerita. Nabi Ibrahim sanggup dihukum bakar demi mencari kebenaran, tapi orang zaman sekarang ni sanggup kena bakar sebab malas nak cari kebenaran tapi sibuk sebarkan segala cerita yang tak betul macam confirm cerita yang didengari benar semata-mata benar.

Kalau kita dalam situasi KESALAHAN APABILA MENDENGAR, hanya 2 pilihan kita; pertama selidiki cerita yang kita dengari dan perbetulkan kepada yang menyampaikan cerita tersebut supaya dia tahu dia salah. Kedua; dengar dan diam dan jangan ambil tahu atau jaga tepi kain orang lain. Alasannya mudah saja, kita sedang mengelak daripada menambahkan catatan ‘sebelah kiri’ dan BILA KITA TUTUP AIB ORANG LAIN, INSYAALLAH ALLAH TUTUP AIB KITA JUGA. Ingatlah, tiada manusia yang benar-benar jahat hingga tiada kebaikan dalam diri mereka dan tiada manusia yang benar-benar baik sehingga tiada kejahatan dalam diri mereka.  

p/s: Seandainya/ jika aku adalah mangsa, aku tidak akan memaafkan pelakunya walaupun dia telah meminta maaf selagi orang yang telah dia sampaikan cerita serta orang yang menyampaikan cerita tersebut pada orang lain dan seterusnya tidak diperbetulkan. Muktamad. 

No comments:

Post a Comment